Istiadat Kerjan Muhammad Abdullah (Negeri Sembilan)

Pengisytiharan Datuk Johan Pahlawan Lela Perkasa Setiawan Muhammad Abdullah, sebagai Undang Luak Johol ke-15, mencapai kemuncak hari ini apabila Istiadat Kerjan diadakan di Johol di sini.

Kerjan bermaksud pertabalan mengikut adat sesuatu luak selepas seseorang itu dilantik menjadi Undang.

Negeri Sembilan mempunyai empat luak yang mempunyai Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Johol manakala Luak Tampin diketuai oleh Tunku Besar Tampin.

Istiadat Kerjan kali ini diadakan selepas Muhammad, 51, dipilih pada 27 Mac 2016 untuk memegang jawatan itu bagi menggantikan penyandang yang dipecat kerana melakukan kesalahan berkaitan adat luak itu.

Pelantikan itu kemudian disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang, iaitu badan tertinggi berkaitan adat dan institusi Undang, yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, diikuti pengesahan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan, Oktober lalu.

Istiadat Kerjan bermula kira-kira jam 8 pagi tadi, iaitu mandi bersiram di Perigi Gondang, yang terletak di Kampung Bukit Istana dekat Air Mawang di sini.

Adat ini mempunyai simbolik, iaitu membersihkan fizikal dan jiwa Muhammad sebagai Undang Luak Johol yang baharu.

Ini diikuti Adat Menaikkan Daulat di Makam Gobah, iaitu gelaran kepada Undang Luak Johol ke-6, Datuk Abu Bakar (1820-1840) yang dikatakan berdaulat dan mempunyai ilmu luar biasa.

Ini dilakukan dengan mengadakan majlis tahlil dan doa selamat di Makam Gobah yang terletak kira-kira 100 meter dari perigi itu.

Kerjan diakhiri dengan istiadat menjunjung kasih dan ikrar taat setia oleh Datuk Adat, Ibu Waris dan Ibu Soko serta pembesar lain di Luak Johol di Balai Undang Johol di Renggoh di sini.[5]